SIAPA SAYA

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Dari kecil mak selalu ajar dan pesan, kita hidup ni kena selalu bersyukur. Bersyukur dilahirkan dalam Islam, dilahirkan dalam negara yang maju dan aman, mempunyai ibubapa dan keluarga yang penyayang jika dibandingkan dengan orang lain yang tidak bernasib baik. Saya mempunyai keluarga yang sentiasa melindungi dan memberi tunjuk ajar pendidikan dunia akhirat. Bagi mak abah, saya dan adiklah harta yg paling disyukuri, Ya, anak emak hanya 2 orang dan saya merupakan anak sulung. puteri kesayangan emak, Kizeewatty Binti Zainal. Anak-anaklah harta yang paling berharga dan saham akhirat mak abah di sana kelak. Insya Allah=).

Saya memulakan pendidikan seawal 6 tahun di tadika Kemas dan seterusnya di S.R.K Sri Jamil Muar Johor. Setelah mendapat keputusan UPSR yang agak baik, saya beralih ke S.M.K.A (Maahad) Muar. Setelah habis SPM saya mendapat panggilan awa luntu kmemasuki Kolej Matrikulasi Londang di Melaka  dalam bidang Sains Hayat.Baru sahaja menduduki peperiksaan semester pertama, saya mendapat tawaran di  Universiti Islam Antarabangsa di Gombak. Dengan sedikit percaturan dan istikharah saya mengambil keputusan untuk beralih kebidang Kejuruteraan walaupun pada mulanya tidak pernah terlintas untuk kejurusan ini.Berserah pada Ilahi kerana saya yakin inila hala tuju saya. Setelah 4 tahun bergelumang suka duka, menyiapkan kertas kerja dan projek di bengkel dan makmal sehingga ke tengah malam, akhirnya saya berjaya memegang segulung Ijazah Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian.

Banyak temuduga yang saya hadiri setelah tamat belajar tapi semuanya bukan di Johor.Niat saya supaya senang dekat dengan mak dan abah. Selama setengah tahun saya menganggur walaupun ramai kawan-kawan yang sudah berkerja. Saya masih bersabar menunggu panggilan kerana saya yakin Allah dengar setiap apa yang saya minta dari-Nya. Alhamdulillah, penantian saya terjawab. Saya ditawarkan bekerja sebagai Jurutera dalam bidang Carigali Minyak dan Gas di Johor Bahru. Selama 7 tahun, bermula dari kosong hinggalah terbina sebuah pelantar minyak yang tersergam indah ditengah lautan. Berpindah randah dari Japan Gas Corporation Singapore ke Sime Darby Engineering Sdn Bhd dan seterusnya kini di Malaysia Marine Heavy Engineering Sdn Bhd demi kenaikan gaji dan kepuasan bekerja. Beberapa projek yang pernah saya terlibat adalah seperti Petrochemical Corporation di Kota Singa, Kumang-A CPP di BumiKenyalang, Oil and Gas India di Mumbai dan kini sedang menghabiskan perjalanan projekter baru iaitu Damar-A danLawit-A milik Exxon Mobil. Memang kalau diikutkan apa yang saya ada sudah mencukupi tapi sebenarnya hati saya rasa kosong. Bagaikan apa yang saya lakukan hari-hari tidak bermakna. Bangun pagi pergi kerja balik kerja.Hinggakan pagi-pagi lagi saya sudah menghitung tiap detik untuk pulang kerumah.Seperti tidak tahan untuk bekerja dibawah telunjuk peraturan manusia. Lemas dengan kerja yang tidak menentu dan seakan berlari tidak cukup kaki dan tangan.Sampai bila mahu begini?

” I want to be my own boss.” Bermula daripada sinilah saya berbalik kepada minat saya mendalami ilmu yang saya minati sejak dulu, Ilmu Kesihatan Islam, kerana suatu hari nanti saya ingin memulakan perniagaan dalam bidang ini, Insya Allah. Dan juga kerana sejak dari remaja saya sering dilanda masalah kesihatan yang bagaikan tiada penghujung sehinggalah saya menemui cara-cara perubatan Islam dan sunnah nabi Muhammad s.a.w yang jarang kita ketahui dan praktikkan. Melalui blog ini saya ingin berkongsi segala pengalaman dan ilmu yang penuh tersirat melalui pembacaan dan amalan saya, keluarga dan kawan-kawan. Alhamdulillah sedikit sebanyak ilmu yang saya amalkan dan kesihatan saya bertambah baik dengan Izin-Nya. Saya lebih bersemangat apabila suami sering menyokong dan membantu saya dari belakang.
Saya berharap segala ilmu yang disampaikan memberi manfaat dan impak positif dalam kehidupan umat Islam seharian. Tidak mustahil zaman kegemilanagan Islam dalam perubatan akan berulang kembali.
Seperti termaktub dalam perjanjian dari Allah, setiap penyakit ada penawarnya, kecuali tua dan mati. Hanya manusia sahaja yang sering berputus asa dalam mencari segala yang terbaik untuk diri mereka. Dan jika kita sentiasa berpegang dengan janji-janji Allah ini, Insya Allah terjamin dan selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Bersama Suami Tercinta.

No comments:

Post a Comment