June 9, 2014

Sedekah Tidak Perlu Tunggu Kaya

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t




Situasi Pertama

Ketika saya sekeluarga pulang ke kampung di Ayer Baloi Pontian, kami singgah di kedai makan untuk menjamu perut di waktu tengahari. Ketika sedang enak kami menjamu selera, mata saya mula memerhatikan seorang cina tua. Dia berbaju kemeja dan seluar slack yang agak lusuh serta berhelmet, mula melangkah masuk ke restoran tempat kami ini.

Cina tua ini berdiri di belakang meja saya, mundar mandir seperti mencari pelayan untuk mengambil pesanan makanan. Tapi tidak seoran pun pelayan di restoran ini yang melayannya. Cina tua ini mundar mandir keluar masuk restoran pula, dalam keadaan terpinga dan terfikir-fikir seorang diri. Sekali lagi saya nampak dia seperti tercari-cari pelayan di restoran ini.

Akhirnya saya terperasan, seorang pelayan restoran mula memarahi cina tua ini. Kerana itulah dia seperti serba salah keluar masuk restoran tersebut. Mungkin bajunya yang lusuh dan kurang bersih itu bakal mengganggu pelanggan yang lain. Saya mula meminta suami supaya bertanya. Setelah disoal selidik rupanya dia tidak mempunyai sesen pun untuk makan. Setiap hari dia datang ke restoran ini berharap jika ada yang sudi untuk memberi.

Ya Allah kasihan sungguh. Kami tanya mahu makan apa. Dia menunjuk lauk yang ringkas untuk dirinya. Kami belikan dan kami beri sedikit duit. Abah saya kemudian berkata seperti ingin memberi kesimpulan atas apa yang berlaku.

 "Orang berniga ni takkan rugi kalau beri pada orang yang meminta. Memang dia dah susah. Apa salahnya beri sikit"

Situasi Kedua

Setiap pagi ke pejabat saya pasti singgah di gerai kecil, terletak betul-betul di depan letak kereta yang kami panggil 'kandang'. Juadah sarapan pagi yang disediakan agak ringkas, tidak terlalu banyak. Menu kesukaan saya dan suami adalah nasi lemak atau mee goreng.

Satu hari saya teringin membeli kuih untuk disedekahkan pada kawan-kawan pejabat. Tiba-tiba kuih yang dibungkus tidak dikira dan diberi percuma.

"Akak sedekah ye dik".

Saya tergamam sekejap.

"Eh takpa kak. Saya nak beli bagi kawan", saya menjawab.

" Takpa dik akak sedekah". 

Alhamdulillah, rezeki Allah untuk kawan-kawan saya. Dan begitulah yang kerap terjadi tiap kali saya membeli dalam kuantiti yang banyak. Ada sahaja yang saya dapat percuma daripada kakak gerai tersebut.

*********************************************************************************************************************************************************************

Beginilah lumrah di dunia, semakin kaya semakin kurang memberi padahal tiap rezeki kita ada hak pada yang lain. Allah kayakan kita supaya kita lebih memberi, untuk menaikkan darjat kita dalam amalan bersedekah.

Bagaimana kita terlalu berkira-kira untuk memberi pada yang kekurangan. Allahu Akbar. Segala apa yang ada pada kita bukan milik kita. Segala ilmu kepakaran kepandaian semua itu milik mutlak dan hak Allah s.w.t. Apa yang ingin Allah lihat adalah bagaimana kita melaksanakan tugas sebagai Khalifah di muka bumi ini dan jua dalam menguruskan pemberianNya, yang akhirnya segala harta, kepakaran dan ilmu kita memberi kebaikan pada orang yang lebih memerlukan.  

Yang mampu terlalu lokek untuk bersedekah tapi yang kurang mampu pula banyak memberi pada yang mampu. Siapa yang lebih memahami konsep sedekah, siapa yang menjalankan suruhan Allah di muka bumi ini. Yang kaya atau yang miskin?

No comments:

Post a Comment