May 18, 2015

5 Tabung Wajib Ada Pada Tiap Individu.

Teks: Kizeewatty zainal
(Gambar carian Google)

Assalamualaikum wbt.

Makin hari perbelanjaan dan harga barang makin meningkat. Harga ringgit makin merundum dan nilai matawang makin menyusut. Kalu diajukan soalan pada saya, sememangnya saya bukan pakar hal-hal ekonomi dunia atau negara untuk mengulas lebih lanjut di manakah nilai matawang kita sekarang. Kuasa membeli semakin meningkat dan simpanan semakin menyusut. Kita kerap membeli barang yang tidak perlu namun simpanan berada di tahap yang amat parah.

Namun di sebalik ribut ekonomi negara ini, apa yang patut kita lakukan? Ingin berenang  mengikut atau melawan arus? Sebenarnya apa yang penting adalah menyediakan pelan yang terbaik bagi menghadapi ekonomi  masa akan datang. Salah satunya adalah dengan menabung.

5 Tabung Wajib Ada Pada Tiap Individu


Hari ini saya ingin kongsikan beberapa jenis tabung yang saya simpan secara konsisten sejak dari bulan May tahun lepas. Cara ini saya pelajari setelah saya menghadiri seminar IMKK selama 4 hari pada bulan Julai 2013.

Langkah utama adalah menetapkan peratusan perbelanjaan dan simpanan. Perbelanjaan ini di panggil ‘necessity’ manakala simpanan di panggil ‘saving’.  Necessity ini termasuk perbelanjaan dapur, makan minum, pakaian, insuran, hutang, kenderaan, bil perubatan dan utility (bil api, air dan internet). Katakan necessity anda adalah 55% sebulan, maka saving anda pula adalah 45%.  Kalau necessity anda adalah 70% sebulan, maka saving anda pula hanyalah 30%. 

Gunakan peratusan ini sepanjang tahun dan sampai bila-bila, peratusan ini boleh bertukar mengikut keadaan kewangan asalkan peratusan saving  tidak mencapai tahap 0%. Ini tidak digalakkan sama sekali. Jangan amalkan berbelanja dahulu menyimpan kemudian, sepatutnya menyimpan dahulu barulah belanja pada yang perlu.

5 Tabung Wajib Ada Pada Tiap Individu
5 Tabung Wajib Ada Pada Tiap Individu.

Kita ambil contoh necessity 70%, maka saving pula 30%daripada jumlah gaji bersih. Daripada peratusan simpanan (saving) ini saya pecahkan kepada beberapa bahagian tabung dan peratus. Sebagai peringatan tabung-tabung ini bukan disimpan di dalam balang kuih, pasu atau tin-tin biskut di rumah. Duit tabung-tabung ini perlu di simpan di dalam bank simpanan masing-masing. Lebih banyak bank lagi bagus.

Di sini saya ambil contoh pecahan 55% necessity dan 45% simpanan.  Mari kita lihat pecahan 45% simpanan dan fungsi-fungsinya.

Tabung Long term – wajib disimpan 10% daripada gaji bersih.
Tabung Long Term pula tabung untuk simpanan jangka lama. Bagi saya tabung ini merupakan Tabung simpanan Umrah dan Haji saya. Sememangnya saya sudah melakukan potongan gaji untuk mengerjakan haji namun 20-30 tahun akan datang perbelanjaan semakin meningkat. Berkemungkinan potongan gaji saya hanya cukup-cukup makan. Maka saya menyimpan sedikit untuk perbelanjaan yang lebih selesa.

Tabung Financial Freedom – wajib disimpan 10% daripada gaji bersih.
Duit simpanan di dalam tabung ini akan digunakan untuk mencapai tahap bebas hutang- hutang besar seperti hutang rumah, kereta dan lain-lain. 

Tabung Fun – wajib disimpan 10% daripada gaji bersih.
Tabung fun merupakan tabung yang akan kita guna apabila pergi melancong atau berjalan-jalan bersama keluarga. Segala perbelanjaan petrol, sewa hotel, makanan dan lain-lain untuk sebarang aktiviti pelancongan akan dikeluarkan daripada tabung Fun ini.

Tabung Education – wajib disimpan 10% daripada gaji bersih.
Tabung Education pula merupakan simpanan apabila kita ingin menambah ilmu atau meningkatkan kemahiran diri dalam sesuatu bidang.  Contohnya jika kita berminat dalam pelaburan saham, tabung ini harus digunakan untuk membayar yuran dan menghadiri seminar saham, atau membeli buku atau software yang berkaitan dengan ilmu yang ingin kita pelajari. Mungkin juga ini tabung yang akan digunakan jika kita ingin sambung belajar ke peringkat Diploma, ijazah atau Master PHD. Atau simpanan tabung ini digunakan untuk membeli hartanah atau emas.

Tabung Charity dan Zakat – wajib dilabur 5% daripada gaji bersih.
Seperti yang kita tahu, peratus wajib zakat hanyalah 2.5% daripada gaji bersih. Tapi takkanlah kita hendak melakukan yang wajib sahaja. Apa kata kita ringan-ringankan tangan bersedekah. Sedekah itukan sunnah dan menyuburkan lagi rezeki kita. Jadi di sini saya cadangkan 2.5% sedekah dan 2.5% lagi peruntukan untuk zakat.

Bagaimana pula kalau kita sudah mengeluarkan zakat melalui potongan gaji? Perlukah kita kecilkan peratusan tabung ini kepada hanya 2.5%? Jawapan saya mudah- laburkanlah semua 5% ini kepada sedekah. Insya Allah akan dibalas berlipat kali ganda lagi kepada kita. Ameen.

Pernah satu soalan diajukan kepada saya, bagaimana pula dengan insuran dan cukai jalan kereta yang hanya perlu dibayar sekali setahun bukannya bulanan seperti bil-bil yang lain. Mungkin juga bayaran sekali setahun ini akan kita ambil daripada tabung  ‘fun’ atau ‘financial freedom’ dan akhirnya tabung ini akan kosong kembali nilainya.

Jawapan saya untuk di atas ini juga amat mudah- buka satu lagi tabung untuk insuran dan cukai jalan kereta bermula dari bulan pertama. Cari peratusan yang sesuai supaya apabila sampai tarikh untuk membuat pembayaran, jumlahnya sudah cukup tanpa perlu kita usik tabung yang lain.

Dengan itu kawan-kawan yang budiman, mulalah menabung dari sekarang. Tiada apa yang perlu dirugikan kerana amalan ini mampu mendisiplinkan diri dan contoh terbaik kepada anak cucu cicit kita. Ini juga merupakan satu langkah sihat kepada hidup bebas hutang. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment