July 1, 2014

Salam Ramadan Kareem: Niat Puasa dan Doa berbuka

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Selamat berpuasa muslimin muslimat seluruh dunia. Alhamdulillah kita diizinkan Allah s.w.t untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadan kareem, bulan  penuh keberkatan, bulan pahala berganda, bulan di mana Allah ikhsankan untuk hamba-Nya menebus dosa-dosa yang lalu.

Hari ini saya ingin berkongsi niat puasa dan doa berbuka puasa. Insya Allah moga dapat memberi panduan dan diamalkan oleh para pembaca. Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa. Namun lebih elok jika disertai niat yang betul dan lafaz di mulut agar sentiasa diingati.

Lafaz lengkap:



[Sebutan dalam rumi] Nawaitu souma ghodin 'an adaa'i, fardhi syahri ramadhaana hadzihis sanati lillahi ta'ala
Maksud: Sahaja aku puasa esok hari fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala.


Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan



 [Sebutan dalam rumi] Nawaitu souma syahri ramadhaana kullihi lillahi ta'ala

Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.


Waktu Berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.


Doa Berbuka Puasa




[Sebutan dalam rumi] Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa‘alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin
Maksud: Ya Allah keranaMu aku berpuasa dan kepadaMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka; Dengan RahmatMu wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Hukum Puasa Di Bulan Ramadhan

Firman Allah S.W.T: 

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. " 

(Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: 

Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”

Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan mendapat pahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment