November 26, 2013

Sunnah Rasulullah s.a.w: Bekam Penawar Racun

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Saban tahun suami saya akan pergi ke 'spa' kegemarannya. Spa yang mampu membuatkan badan dan kepala menjadi ringan, setahun pasti sekali dua dia akan memanjakan diri di spa. Sebenarnya spa yang dimaksudkan di sini ialah berbekam salah satu kegemaran Nabi kesayangan kita. 

Berbekam mampu merupakan proses mengeluarkan darah beku yang mengandungi toksin dari dalam tubuh manusia dan di dalam alam bahasa Arab ia dikenali dan disebut Hijamah. Lazimnya, bekam selalu dilakukan di bahagian kepala di mana rambut harus dicukur dan juga belakang badan. Kulit kita akan ditoreh sedikit dan kemudian ditekap dengan dengan mangkuk kecik yang telah disteril. Tempoh antara sesi bekam yang pertama dengan bekam yang seterusnya hendaklah dijarakkan selama 5 atau 6 bulan untuk membolehkan sel dan darah terbina semula.

Abdul Razzaq meriwayatkan dari Ma'mar dari Az Zuhri, dari Abdul Rahman bin Ka'ab bin Malik bahawa semasa di Khaibar ada seorang wanita Yahudi yang membawakan seekor kambing biri-biri panggang beracun kepada Rasulullah. 

Rasulullah berkata, "Apa ini?"

 Wanita itu menjawab dengan penuh berhati-hati agar tidak mengatakan bahawa pemberian itu merupakan sedekah sehingga Rasulullah tidak mahu memakannya. "Hadiah"

Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya memakan biri-biri panggang itu. Setelah mengetahui apa yang dimakan itu beracun, Rasulullah s.a.w mengarahkan semua supaya berhenti makan dan baginda kemudian berbekam tiga kali pada bahagian bahunya. Namun, beberapa sahabat baginda meninggal dunia walaupun telah berbekam.

Musa bin Uqbah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berbekam pada bahunya kerana biri-biri beracun yang dimakannya. Abu Hind, seorang pembantu Bani Bayadhah menggunakan sebilah pisau untuk membekamnya.

Tiga tahun kemudian, ketika menderita sakit yang membawa kepada kewafatannya, Rasulullah s.a.w berkata, "Aku masih merasakan kesan biri-biri beracun yang aku makan pada hari Khaibar, sehingga kini ketika masa urat nadi terputus (maksudnya ketika ajal mendekati)." Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w wafat sebagai syahid.

Racun boleh diubati dengan cara mengeluarkannya dengan meneutralkan kesannya. Jika tidak ada ubat atau penawarnya, perlu dikeluarkan racun secara menyeluruh dengan memuntahkan isi perutnya. Namun kaedah paling baik membuang racun adalah dengan cara berbekam, terutamanya bagi mereka yang tinggal di daerah panas.

Racun masuk ke dalam pembuluh darah menuju ke jantung dan bahagian tubuh lain sehingga membawa kematian kerana darah merupakan cara racun mengalir ke jantung dan organ dan sistem tubuh lain. Darah yang dijangkit dikeluarkan dengan cara berbekam sehingga tubuh akan bebas dari racun tersebut. Juga, jika pengeluarannya sempurna, maka tidak akan ada racun yang tertinggal dalam badan kita.

Ketika Rasulullah s.a.w berbekam, baginda melakukannya pada bahu yang merupakan bahagian paling dekat dengan jantung. Sebahagian racun tertinggal dalam sistem tubuh Rasulullah s.a.w sebenarnya untuk memenuhi apa yang telah Allah putuskan bagi Rasul-Nya, iaitu meyempurnakan darjat keutamaan pada diri baginda. Ketika Allah memutuskan sudah masanya bagi utusan-Nya wafat sebagai syahid, maka kesan racun tersebut muncul kembali. 

Dari Abu Hurairah radhiallaahu 'anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berbekam pada hari ke-17, 19 dan 21 (tahun Hijriah), maka ia akan sembuh dari segala macam penyakit.”  

Imam asy-Syuyuthi mengulas pendapat Ibnu Umar, bahawa berbekam dalam keadaan perut kosong itu adalah yang paling baik. Maka disarankan bagi yang hendak berbekam untuk tidak makan makanan berat 2-3 jam sebelumnya.
  
Antara penyakit yang cukup baik untuk berbekam adalah hipertensi, gout, hiperkolesterolemia, strok , parkinson, epilepsy, migrain, vertigo, kegagakan ginjal, varises, hemoroid, dan sakit pinggang, penyakit darah (leukemia, thalasemia), tinnitus, asma, alergi, penyakit sistem imun (SLE, HIV), infeksi, glaukoma, insomnia, untuk kesuburan dan kecantikan (menghilangkan jerawat) dan menurunkan berat badan.



Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment