Teks: Kizeewatty Zainal
Assalamualaikum w.b.t
Entri kali ini saya mengimbau kembali
perjalanan kerjaya saya sebagai seorang jurutera minyak yang kadang kala perlu
bekerja dan merantau ke luar negara. Pada tahun 2010, saya terlibat dalam
satu projek pembinaan pelantar minyak untuk syarikat ONGC – Oil and Gas
Corporation yang bertapak di Maharashta atau lebih dikenali dengan nama Mumbai,
India.
Pada Nov 2011, projek kami berada dalam
keadaan kritikal dan ONGC mula mengarahkan agar satu perjumpaan diadakan di
antara ONGC, SDE dan konsultan kami yang berada di Holland, supaya segala masalah
projek dapat diselesaikan segera di ibu pejabat di Mumbai. Pada waktu inilah
saya dan 12 rakan-rakan saya bersiap sedia untuk ke India. Segala
dokumen-dokumen penting telah dihantar ke India terlebih dahulu. Duit juga sudah siap sedia saya tukar, pada waktu ini tukaran mata wang adalah RM0.60 bersamaan IND10.00. Selebihnya
menunggu ketibaan kami ke bumi terbesar jajahan British suatu masa dahulu ini.
|
Bersiap sedia untuk ke India dan keadaan cuaca agak buruk waktu ini. |
Dengar sahaja nama Mumbai pasti kita
terbayang Amitabh Bachchan, Shah Rukh Khan, Rani Mukerjee, Kareena Kapoor dan aktor-aktor yang bertaraf
dunia. Saya terbayang alangkah seronoknya jika dapat berselisih dengan
mana-mana artis ini di tengah-tengah kota metropolitan ini. Dalam kepala, saya dah mula berangan dan
merancang apa yang ingin dilihat dan dibuat
di bumi India nanti. Perjalanan
kami dengan menggunakan pengangkutan udara MAS mengambil masa lebih kurang 5
jam dari Malaysia ke India. Rata-rata
dalam pesawat hanya kami sahaja warga Melayu Islam, yang selebihnya adalah
warga India. Keadaan cuaca yang buruk dan hujan lebat pada waktu ini
menyebabkan kapal terbang agak terumbang ambing. Tak lena tidur saya dibuatnya,
tak henti-henti saya berdoa semoga Allah selamatkan perjalanan kami ini. Saya ini
penakut sikit, mungkin dah terlalu banyak menonton filem tragedi kapal terbang
terhempas.
Apabila kapal terbang kami hampir tiba pada
tengah malam waktu India, dari atas terbentang luas landasan ketibaan kami. Panorama lampu
rumah setinggan di sekeliling lapangan Chhatrapati Shivaji amat cantik dan
menakjubkan. Rasa teruja dan tak sabar untuk menjejakkan tapak kaki saya di negara asing ini. Setelah
selesai urusan imigresen dan sebagainya, kami di bawa ke hotel Sai Palace, pada
waktu ini kebanyakan hotel penuh kerana akhir tahun merupakan musim jualan
murah di India sama seperti Malaysia.
Ramai pelancong mengambil kesempatan ini untuk melancong sambil berbelanja
kerana India terkenal dengan dunia fabriknya yang murah.
Sampai di hotel, setiap seorang diberikan satu
bilik. Mulanya saya tak nak, kalau boleh nak sebilik dengan kawan saya tapi, peliknya di sini
kami tidak dibenarkan berkongsi bilik walhal bilik yang ditempah mempunyai 2
katil bujang. Bila saya bertegas ingin berkongsi bilik, permintaan saya tidak
dilayan. Mungkin ini polisi hotel di sini. Maka saya berkeseorangan dalam bilik
dan dalam keadaan ‘jet lag’ saya masih tidak dapat melelapkan mata.
Setiap jam
saya terbangun dan akhirnya pukul 6 pagi saya bangun dalam keadaan pening lalat.
Waktu ini saya meninjau pemandangan luar tingkap sebab semalam kami tiba pada waktu malam. Pemandangan yang agak menyedihkan kerana hotel kami bersetentang
dengan rumah setinggan. Kelihatan warga Mumbai sudah memulakan hari kerja
mereka dengan berpusu-pusu ke pejabat. Jalan raya penuh dengan pejalan kaki,
ada yang menghantar anak ke sekolah dan ada yang mencari tempat sarapan. Satu gaya
yang saya perhatikan mereka semua kemas berpakaian seolah-olah ingin ke pejabat
padahal ada antara mereka yang hanya bekerja di tepi jalan.
|
Pemandangan setinggan yang berhadapan dengan Hotel Sai Palace |
Kami turun untuk bersarapan dan di sini kami
disajikan dengan makanan yang amat menyelerakan. India sememangnya mempunyai bahan
makanan semulajadi dan berlainan rasa. Sebagai contoh, sayur dan buah-buahan
India amat manis dimakan mentah tidak seperti di Malaysia yang perlu dimasak
atau ditambah perisa. Berulang-ulang kami tambah dan makan kerana memang lain
dari yang lain.=)
|
Jemput sarap kata orang Johor |
Setelah selesai, kami menuju ke pejabat ONGC
dengan menaiki kereta yang di sewa syarikat. Pemandu kami Muslim rupanya maka
agak senang untuk berborak. Perjalanan satu jam agak lama kerana kesesakan lalu
lintas yang luar biasa berbanding trafik di Malaysia. Cara pemanduan di India
memang haru biru, kecutkan perut saya, hampir-hampir saya terkena sakit jantung
bila bas dan lori meluru ke arah kenderaan kami yang sedang melintas. Lampu
trafik tidak banyak dan memerlukan daya kreativiti pemandu untuk memandu di Mumbai
ini. Kalau sayalah yang memandu rasanya tidak bergerak ke mana, mungkin akan
menangis dan mengenang nasib tanpa bergerak seinci pun.
|
Beginilah pemandangan di tengah bandar Mumbai. Penuh dikelilingi rumah yang agak daif |
|
Sepanjang perjalanan, Mumbai dihiasi
bangunan yang muram dan agak usang, rumah setinggan berlambakan di
tengah-tengah bandar. Terlalu banyak pembinaan jalan dan bangunan yang
terbengkalai dan himpunan manusia di tepi dan tengah jalan. Berbeza dengan apa
yang saya lihat di kaca TV. Apabila kereta kami berhenti di lampu trafik,
tingkap kenderaan kami diketuk dan diserbu pengemis-pengemis jalanan. Kami
dinasihatkana agar tidak membuka tingkap dan memberi duit kerana dikhuatiri
lebih ramai yang akan datang dan menyukarkan kereta kami untuk bergerak. Bila
saya lihat mereka satu persatu saya berasa amat kasihan. Tidak seorang pun dari
mereka yang sempurna, pasti ada sahaja kecacatan tangan, mata atau badan.
Inilah lumrah masyarakat di Mumbai, apabila populasi melebihi hadnya dan
kepincangan hidup di sini.
|
Kawasan ibu pejabat ONGC Mumbai |
Sampai sahaja di pejabat ONGC saya agak
tergamam, pejabat ini betul-betul terletak berhadapan dengan rumah setinggan.
Pagar pejabat itu bagaikan pemisah antara kawasan setinggan dan ONGC bagaikan kawasan
istana yang tersergam indah. Kanak-kanak perumanahan setinggan dengan senang hati
bermain kriket di tangah jalan, tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu lalang.
Kebanyakan dari mereka tidak bersekolah. Dan kanak-kanak ini tanpa ada rasa
malu dan segan silu membuang air
kecil dan besar betul-betul di hadapan pagar ONGC . Dan kami perlu berhati-hati
ketika berjalan kerana takut terpijak najis. Bila saya melihat kurangnya akhlak, adab sopan dan tanpa segan silu masyarakat di sini, saya betul-betul simpati dengan nasib generasi muda di negara
ini. Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan ketamadunan yang betul. Hidup mereka hanya berlandaskan dunia semata-mata.
|
Kami di hadapan ONGC sambil menunggu kereta sewa. Masa untuk bersuka ria |
Sebelum masuk ke ONGC, kami diperiksa dengan
teliti. Setiap dari kami perlu melalui palang pengimbas yang dijaga oleh tentera
atau polis. Waktu pejabat di sini bermula pada pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Seharian kami mengadap kerenah dan budaya India dan juga Holland. Masing-masing agak tegas dalam projek ini dan saya bagaikan tersepit di
tengah-tengah. Tapi kerja hanyalah kerja, saya sudahkan dengan sebaik mungkin.
|
Bangunan bersebelahan ONGC dan tempat letak kereta di mana kanak-kanak bermain |
|
|
|
|
Waktu petang hanya beberapa orang dari kami
yang selesai, yang lain terpaksa meneruskan kerja hingga ke malam di ONGC. Saya
dan 2 rakan lagi iaitu Sarah dan Paie (Nor Faizah) merancang untuk berjalan-jalan.
Dari ONGC kami ke R City, salah satu kompleks membeli belah yang memakan masa
perjalanan hampir 1 jam. Di sini kami sekali lagi diperiksa oleh polis sebelum
memasuki gedung membeli belah yang agak besar ini. 2 jam kami di sini, harga baju yang murah dan cantik disulam tangan, kain sari
yang penuh warna warni memenuhi ruang kompleks ini. Sehelai baju kurti berharga RM22-26 berbanding dengan
Malaysia yang 3-4 kali ganda mahalnya.
Saya dan Paie sampai terduduk menunggu rakan saya Sarah yang tidak habis
memilih baju lagi. Memang berbaloi berbelanja di sini. Makan malam kami singgah di Subway
kerana yang lain-lain kami tak pasti halal ke tidak.
|
The Times India. Pakej melawat Malaysia 2011 |
Hari kedua saya membaca surat
khabar The Times India. Rupa-rupanya tengah musim pilihanraya di sini. Pelbagai
simbol yang menarik bagi setiap parti yang bertanding. Ada bentuk kuali, kasut,
sayur dan lain-lain serta beberapa manifesto yang menarik yang membuatkan saya
tertanya-tanya. Antaranya adalah menyediakan air bersih di kawasan setinggan
dan menyediakan tempat meletak anjing-anjing di luar bangunan. Dua perkara yang
agak pelik bagi saya kerana di kawasan Bandar Mumbai boleh dikatakan 70% adalah
setinggan dan ini bermakna bandar besar di India ini masih lagi menghadapi
masalah kekurangan air bersih. Suami saya pernah berpesan kalau boleh jangan sesekali
minum air paip di sini kerana berkemungkinan akan keracunan, jadi saya terpaksa
beli air botol untuk dibuat minum dan berkumuh ketika gosok gigi.
Sebelah petang pula setelah habis kerja, setelah
selesai di ONGC kami bercadang untuk membeli sari
yang dikirim kawan-kawan di Malaysia. Kali ini kami bergerak dalam
kumpulan. Busana sari di sini memang amat murah dan cantik. Banyak juga yang
saya borong. Sari ini amat sesuai dibuat baju kurung moden atau Pahang, dan
kainnya amat selesa dipakai. Sebela malamnya,kami ke Restoran Safron Spice yang berhampiran hotel
kami. Makanan yang saya tempah adalah Ayam Tandori dan roti pita.
|
Selesai membeli sari di Mumbai. Tempat yang terbaik kerana harga yang murah dan layanan mesra dari taukeh kedai. |
|
Makan malam di Saffron Spice berdekatan dengan hotel kami. Restoran yang selesa dan menyediakan makanan dan layanan yang mesra. |
|
Dengan kawan-kawan seangkatan |
|
Makan malam kami yang lazat dan ringkas- Ayam tandori dan roti pita |
Hari seterusnya, kami tidak mempunyai kerja
di ONGC. Saya dan Paie bercadang untuk
ronda-ronda sekitar Mumbai pada waktu siang. Kami ke Kolaba Road, yang mana jalan
ini bersebelahan dengan Gate of India dan penuh dengan tempat membeli belah.
Pemandu kami yang baik hati sudi ikut sekali dan dialah yang tolong bawakan
hasil belian kami. Di sini dari sari semurah 10 rupees, apa sahaja
boleh ditawar kerana mereka amat gemar dengan pelancong dari Malaysia. Saya baru
sahaja sampai para penjual sudah bising sesama mereka kerana mereka kenal kami
dari mana. Dalam sibuk kami berbelanja, saya dan Paie amat berhati-hati kerana
hanya kami sahaja yang bertudung dan berbeza di situ. Teringat pesanan suami
saya, kawasan ini agak panas kerana pernah berlaku ancaman pengeboman oleh
pengganas sebelum ini. Beberapa orang polis meninjau kawasan ini kerana
terdapat ramai pengemis. Susah juga kami nak berjalan kerana adakalanya di
halang oleh mereka.
|
Tut-tut kenderaan yang paling pantas dan paling bajet di India |
Selepas itu kami bergerak ke Gate of India,
jalan yang dilalui di sini agak kotor dan penuh dengan bau yang kurang
menyelerakan. Saya hampir termuntah bila tak tahan menahan bau yang betul-betul
meloyakan tekak. Sekali lagi kami diperiksa polis sebelum masuk. Di sini
terlalu ramai jurugambar yang menawarkan servis mengambil gambar pada harga 15
Rupess. Apa yang saya perasan di sini,
terlalu ramai yang kurang bernasib baik, mereka menjual apa saja yang
boleh di jual dan kadang-kadang agak memaksa pembeli membeli barangan mereka.
Tidak seperti Malaysia yang penuh dengan peluang pekerjaan. Tapi ada juga antara penjual di Mumbai ini yang
terlalu ramah dan memang boleh bertolak ansur dengan pembeli.
|
Di hadapan Gate of India. Masih ingat dengan cerita Mann, di sinilah Amir khan dan Manisha Koirala berjanji untuk berjumpa. |
|
Di hadapan Hotel Taj Mahal Palace di Mumbai. Di hotel inilah pernah digemparkan kes pengeboman oleh pengganas. |
Seterusnya kami bersiar-siar sekitar pantai
Chowpatty. Di sepanjang lorong pejalan kaki di pantai ini penuh bersusun
gelandangan yang menumpang tidur. Pada mulanya kami teragak-agak untuk turun
dan mengambil gambar kerana rasa pelik dan sedikit risau. Kawasan inilah yang
selalu di tayang di dalam filem India. Saya tak sangka keadaannya berbeza sama
sekali dengan apa yang ditayangkan di kaca televisyen. Kemudian, kami
bersiar-siar pula ke stesen keretapi peninggalan kerajaan British, Victoria
Terminus, Di sinilah salah satu babak filem Slumdog Millionaire diadakan. Dan
untuk pengetahuan anda apa yang anda tonton dalam filem inilah senario kota
Mumbai yang sebenarnya.
|
Di pesisir pantai Chowpatty |
Bagi saya, India mempunyai terlalu ramai
penduduk yang kurang bernasib baik dan kebanyakan dari mereka tidak mempunyai
pekerjaan dan hanya mampu berpeleseran di tepi jalan. Itu belum lagi ditambah dengan
mereka yang tidur di bawah jambatan, tepi jalan dan sebagainya. Jika ditenung dan diamati, wajah mereka
bagaikan kosong dan tiada tujuan, mungkin kerana terlalu tertekan dengan kepayahan
hidup. Saya pernah singgah di stesen minyak di Mumbai, setiap pam minyak
mempunyai 4 orang pekerja. Berbeza dengan Malaysia yang hanya perlukan seorang
pekerja untuk 2-3 pam minyak. Mereka terlalu kekurangan pekerjaan dan apa-apa
yang mendatangkan duit itulah kerja bagi mereka. Sekali lagi saya agak sedih
melihat harga bagi seliter minyak adalah RM8. Bagaimana mereka hidup dengan kos
yang amat tinggi?
|
Nasi Briyani Hyderabad termasuk minuman, dengan harga RM20 dan untuk hidangan 3 orang |
Ada seorang kawan saya yang agak lama
tinggal di India, dia pernah bercerita bila tibanya musim hujan, ramai gelandangan akan mati
kesejukan atau lemas. Setelah banjir surut, mayat-mayat akan dikumpul oleh
pihak berkuasa dan mana-mana mayat yang tidak dituntut akan dijual untuk tujuan
penyelidikan perubatan atau organ-organ badan mereka dijual kepada yang
memerlukan.
Setiap keperitan dan dan kekurangan yang
saya lihat di negara orang ini membuatkan saya rasa amat bersyukur dilahirkan
di Malaysia, paling bersyukur dan bertuah saya rasa kerana saya dilahirkan
dalam Islam, yang mana agama kita mengajar tujuan hidup tanpa putus asa dan berusaha atas doa dan tawakal kepada Allah s.w.t. Alhamdulillah, ramai antara kita yang masih lagi bertuah dari
penduduk India. Ramai antara mereka tiada rumah, tiada
kerja, tiada keluarga, tiada tujuan hidup dan tiada siapa yang membela dan
mencari keadilan untuk mereka. Saya terlalu insaf melihat kesempitan hidup mereka.
Hari terakhir saya tinggalkan India dengan gambaran penuh simpati dan masih terbayang-bayang realiti kehidupan warga Mumbai yang telah disajikan di depan mata saya selama 5 hari saya di sini. Apa yang pasti, filem Slumdog Millionaire sememangnya memaparkan kisah sebenar Mumbai, kisah sebenar masyarakat India yang wajar menjadi pengajaran pada kita.
Setibanya di Malaysia, lain pula kisah yang menyusul kami. Ramai
antara kami yang terkena cirit birit dan muntah-muntah selama beberapa hari, sehingga ada yang dimasukkan
ke hospital seminggu dua. Inilah akibatnya bila kami kurang berhati-hati dalam
memilih makanan. Sebagai persediaan sebenarnya kami perlu mengambil suntikan imunisasi sebelum ke sana, tapi apakan daya, persiapan kami agak tergesa-gesa pada awalnya.
Semoga pengalaman saya ini sedikit sebanyak dapat menjadi rujukan bagi kawan-kawan yang ingin ke sana. Persiapkan diri dengan segala kelengkapan, jika inginkan nasihat atau rujukan tentang Mumbai ini bolehlah tinggalkan jejak di blog saya ini.
No comments:
Post a Comment