March 10, 2014

Doakan yang Terbaik MH370

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

8 Mac 2014. Merupakan hari lahir suami kesayangan saya. Malam 7 Mac 2014 suami rajin pula memasak sup kambing kegemarannya selama ini. Awal pagi sabtu ini kami bekerja separuh hari, jadi bawalah sedikit sup kambing ke pejabat. Alhamdulillah di pejabat ditambah rezeki sarapan percuma dari kawan-kawan. Sambil-sambil menyuap juadah, rakan karib saya Suriyani dalam keadaan panik memaklumkan kepada saya, "Kizee flight MAS ke Beijing terputus hubungan tiba-tiba dan hilang tanpa kesan malam tadi".

Saya berhenti makan, cuba menyerap apa yang Yani katakan. Dalam keadaan terkebil dan bingung, saya cuba memahami bagaimana kapal terbang itu boleh terputus hubungan. 

Gambar di bawah adalah pesawat Boeing 777-2H6 (ER) MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing pagi 8 Mac 2014. Pesawat berusia 11 tahun (memulakan operasi 31 Mei 2002) ini mempunyai nombor pendaftaran 9M-MRO dan kali terakhir mendarat di Kuala Lumpur jam 520 petang semalam dari Beijing. 

Pesawat ini adalah salah sebuah dari 15 Boeing 777-200 yang digunakan oleh MAS dalam operasi harian. Penerbangan MH370 hilang perhubungan dengan menara kawalan Subang jam 2:41 pagi tadi dan lokasinya masih belum diketahui. Ia membawa 239 penumpang dan 12 orang anak kapal.






Adakah MH370 dihijack? Terhempas? Pilot hilang kawalan? Bekalan elektrik terputus? Macam-macam perkara buruk saya fikirkan, terasa serabut, seram sejuk, resah dan sedih yang amat. Lebih-lebih lagi saya dapat melihat keadaan keluarga mangsa di kaca TV. Semakin sedih dan pilu apabila MH370 ini tidak diketahui di mana hilangnya. Pelbagai juga spekulasi yang mengejutkan jantung saya, salah satunya apabila bangakai kapalterbang ditemui di perairan Vietnam.

Doa saya semoga MH370 dan penumpangnya selamat di mana-mana. Daripada berfikir yang bukan-bukan marilah kita doakan yang baik-baik untuk mereka. Inilah sekuat-kuat senjata dan perlindungan yang boleh kita berikan kepada mereka. Insya Allah. Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Pemberi dan Maha Memakbulkan doa hamba-hambaNya. Amin.

Jangan putus harap dan DOA


No comments:

Post a Comment