April 5, 2014

Amalan Sunnah Ketika Bersugi

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t


Saya doakan anda sekeluarga dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Alhamdulillah segala puji-pujian pada Ya Wahhab, Allah yang maha Pemberi, akhirnya kami di Pasir Gudang kerap dibanjiri hujan.


Sukanya tak dapat digambarkan kerana hampir dua bulan bumi kami di sini tidak dibasahi setitik pun air dari langit. Alhamdulillah syukur pada Allah yang maha pemakbul segala doa dan rayuan hambaNya.


Bercerita tentang hujan, cuaca yang sekejap panas dan hujan ini kadangkala mampu mendatangkan pelbagai penyakit. Salah satu punca terjadinya penyakit ini bila kita kurang menjaga kebersihan diri sendiri. Mungkin kerana banyak catuan air berlaku di sana sini maka had kebersihan terpaksa di kurangkan.


Hari ini saya ingin berkongsi berkenaan salah satu penjagaan diri yang perlu dititikberatkan. Baru sahaja minggu lepas saya mendapat ole-ole daripada kawan saya yang baru menunaikan umrah, sehelai jubah dan kayu sugi. Terkenang saya waktu kecil, arwah atuk saya tidak pernah menggunakan berus gigi, cukuplah kayu sugi baginya untuk kebersihan mulut. 

Sebenarnya kayu sugi jarang digunakan dalam masyarakat Islam kita walhal ia merupakan sunnah dan warisan para nabi sejak dari dulu lagi. Seolah-olah kayu ini telah pupus cara dan penggunaannya. Mengikut  sunnah, terdapat waktu-waktu yang amat digalakkan bersugi. Bukan hanya waktu pagi sesudah makan dan malam sebelum tidur sahaja. 

Seperti yang termaktub dari sabda Rasullullah s.a.w,


"Sekiranya tidak membebankan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka bersugi setiap kali ingin solat"
Riwayat Bukhari dan Muslim

Seorang Muslim sekurang-kurangnya digalakkan bersugi sebanyak 20 kali sehari iaitu ketika:

  • solat lima waktu.
  • solat-solat sunat rawatib.
  • solat Dhuha.
  • solat sunat Witir.
  • ketika keluar dan masuk ke rumah.
  • ketika membaca Al-Quran dan hadis.
  • ketika mulut berbau.
  • ketika bangkit dari tidur.
  • ketika berwuduk.
  • semasa bersahur.
  • ketika mengalami lapar atau dahaga.
  • ketika berzikir.
  • ketika ingin mengajar atau menuntut ilmu.

Sabda Rasullullah s.a.w,


"Bersugi adalah menyucikan mulut dan mendapat keredaan Allah."
Riwayat Imam Ahmad


Cara bersugi mengikut Sunnah
  1. Gunakan tangan kanan.
  2. Mulakan sebelah kanan mulut dahulu.
  3. Gosok gigi dan gusi dengan perlahan.
  4. Gosok lelangit mulut dengan perlahan dan cermat.
  5. Hilangkan lendir pada lidah.
  6. Akhir sekali kumur dengan air bersih.
Fadhilat Bersugi
  • menghilangkan bau busuk dan menambahkan deria rasa.
  • menajamkan ingatan.
  • menghilangkan kahak.
  • mengharumkan bau mulut (mengawal biotik).
  • menyembuhkan daripada penyakit dan jangkitan bakteria.
  • menyembuhkan gusi dan mengelakkan gigi reput.
  • membantu melegakan sakit gigi.
  • gigi akan putih berseri.
  • menanggalkan plak dan kaviti.
  • mencegah kerosakan gigi.
  • mencerahkan mata.
  • mendapatkan keredhaan Allah dan nur pada orang bersugi.
  • merangsang kekuatan saraf gigi dan melibatkan koordinasi otak.
  • meningkatkan keupayaan saraf gigi mengesan getaran nutrien makanan.  (setiap batang gigi berfungsi mengesan nutrien. Sekiranya gigi tersebut bersih, maka nutrien akan dikesan dengan baik untuk membantu melancarkan proses penghadaman)
  • meningkatkan penghasilan kalsium semulajadi tubuh. (sebahagian besar kalsium yang diserap oleh orang dewasa dihasilkan oleh gigi. Gigi yang bersih dan bersugi akan menguatkan tulang.)
Bagaimana Kayu Sugi Berfungsi?

Sebenarnya tiap kali bersugi, gigi akan menerima elektron daripada kayu sugi yang menghalang sisa makanan dan plak melekat pada gigi. Bersiwak atau miswak menggunakan kayu sugi mampu mengawal aktiviti biotik dan mengelak mulut daripada jangkitan kuman. Oleh itu, gigi yang digosok dengan kayu sugi mempunyai keupayaan untuk menanggalkan plak lebih baik daripada kaedah mencungkil, floss atau memberus menggunakan berus gigi.

Bagaimana hanya dengan sebatang kayu mampu membersihkan mulut daripada segala jenis bakteria? Begini, kita hanya perlu menggosok beberapa batang gigi sahaja dengan kayu sugi. Elektron daripada beberapa batang gigi ini akan tersebar ke gigi lain yang bersebelahan sekiranya gigi tersebut bersentuhan atau rapat. Bahagian belakangnya juga turut mendapat elektron yang membantu menanggalkan plak dengan sendiri.


Oleh itu, menggosok gigi menggunakan kayu sugi tidak perlu sehingga ke seluruh permukaan gigi, kecuali jika terdapat renggangan. Gigi yang renggang perlu digosok kerana elektron tidak mengalir dengan sempurna daripada gigi hadapan. 

Bagaimana Memilih Kayu Sugi?

Kita tidak perlu menggigit atau mengetuk kayu tersebut sehingga ia berbulu. Apabila hujung kayu sugi sudah mula berbulu, maka ia perlu dibuang kerana bulu yang terhasil itu kekurangan elektron dan kurang berkesan berbanding dengan kayu yang masih padat. Kayu sugi sebaiknya direndam dalam air segar sepanjang penggunaan agar tidak keras dan mencederakan gusi dan gigi. 

Sekian perkongsian saya kali ini, masih lagi teruja dengan hadiah kayu sugi saya ini. Pertama kali menggunakan mulut terasa segar wangi dan gigi juga licin dan bersih. Penggunna kayu sugi ini juga kurang penggunaan air, maka amat sesuai di kala musim catu mencatu.

~Jom Amalkan Sunnah~

Kizeewatty Zainal


Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment