April 24, 2014

Amalan Sunnah Ketika Memakai Kasut

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Bismillah.

Rasulullah s.a.w bersabda,


"Apabila kamu memakai sepatu (kasut), mulakan dengan kaki kanan dan apabila kamu menanggalkannya hendaklah memulakannnya dengan kaki kiri dan hendaklah kamu memakainya semuanya (kedua-dua belah) atau menanggalkan semuanya."

Riwayat Abu Hurairah r.a

Sunnah pemakaian kasut, sepatu atau selipar sentiasa berulang dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Setiap kali ingin keluar pergi ke masjid, masuk dan keluar bilik air, keluar bekerja dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a:
"Adalah Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam memulai dengan sebelah kanan dalam hal baginda memakai sandal, bersisir, bersuci, dan dalam semua perkara."

Adab-adab ketika Memakai Kasut

  1. Mengucapkan Bismillah hir Rahman nir Rahim - Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
  2. Memulakan pemakaian dengan kaki sebelah kanan terlebih dahulu kemudian diikuti kaki sebelah kiri.
  3. Memulakan perjalanan dengan kaki kanan terlebih dahulu kemudian diikuti kaki sebelah kiri, berjalanlah dengan selamat, bersabar dan tidak tergopoh gapah serta berjalanlah dengan berharap keselamatan dan keredhaan Allah SWT.

Memakai Kasut yang Berlainan

Kita tidak digalakkan memakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun
memakai sebelah sahaja. Ini selalu terjadi kepada diri saya. Tanpa saya sedar banyak kali juga 
saya memakai kasut atau selipar yang berlainan, kadang kala ketika rewang dan tergopoh
gapah dan tanpa kita perasan maka apa yang ada kita pakai sahaja.

Sebenarnya, para ulama memberi pelbagai pandangan tentang larangan pemakaian kasut 
berlainan ini. Antara sebabnya ialah:

  1. Memakai sebelah kasut merupakan tabiat berjalan yang biasa dan tidak selamat.
  2. Tidak berlaku adil antara anggota badan. Mereka yang memakai kasut berlainan boleh dikategorikan kepada kurang atau lemah akal.
  3. Syuhrah- si pemakai kasut yang berlainan atau sebelah sahaja ini bertujuan menarik perhatian orang ramai, untuk menunjukkan perbezaan diri dengan orang lain. Tujuannya sama ada untuk berbangga-bangga di hadapan orang lain dengan perasaan takjub dan besar diri (takbur) atau untuk menunjuk-nunjuk kezuhudan dengan perasan riyak dan nifak (berpura-pura). 

Alangkah baiknya jika kita mengamalkan sunnah ini yang sentiasa berulang dalam kehidupan
kita yang sudah tentu dapat menambahkan ganjaran pahala, dan segala gerak geri serta tingkah
laku kita berada dalam keadaan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu cara untuk
memperoleh pahala dalam amalan-amalan itu kita hendaklah niatkannya kerana ingin
mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment