September 21, 2014

Ciri-Ciri Darah Haid

Teks: Kizeewatty  Zainal

Assalamualaikum w.b.t


Ramai antara kita terutamanya wanita masih kurang arif tentang datangnya haid pada setiap bulan. Pelbagai soalan apabila haid yang datang terlewat atau tercepat dari tarikh yang sepatutnya. Dan ada pula yang was-was sama haid sudah habis dan bila masa perlu untuk kita mandi hadas.


Tempoh Masa Wanita Mengeluarkan Haid

Ulamak Fikah telah menetapkan tempoh wanita mengeluarkan darah haid ialah seperti berikut :
  • Masa keluarnya haid adalah selama 24 jam atau satu lahzoh (seketika), bermaksud selama satu hari dan malamnya. Bagi wanita yang keluar darah tidak sampai 24 jam, maka ia tidak dikira sebagai darah haid dan ia dikira sebagai darah istihadhah atau darah penyakit.
  • Lazim atau kebiasaan bagi wanita yang didatangi haid adalah sebanyak 6 atau 7 hari dan malamnya.
  • Masa paling panjang bagi wanita yang didatangi darah haid adalah selama 15 hari dan 15 malam.
Masa Suci Daripada Haid

Kes 1

Seorang wanita dapat mengetahui dirinya suci ataupun tidak dari darah haid, maka ia boleh memasukkan kapas di dalam farajnya. Jika cecair basah yang melekat dikapas tersebut berwarna putih jernih dan tidak terdapat warna darah haid. Maka ia sudah dianggap suci dan wanita tersebut boleh mandi hadas. Tetapi kalau dikapas itu masih melekat warna darah yang cair walaupun sedikit sekalipun, maka ia dianggap masih tidak suci lagi. 


Dari Aisyah ra berkata :

“Sekumpulan kaum wanita mengirimkan dirjah kepada Aisyah yang berisikan kapas, yang di dalamnya didapati sesuatu yang berwarna kuning. 


Melihat itu, Aisyah berkata : "Jangan kamu tergesa-gesa untuk mengerjakan solat hingga kamu melihat warna kapas itu putih bersih.”

Warna kuning atau warna keruh itu dikatakan sebagai darah haid apabila keluar pada hari-hari di mana seseorang wanita itu biasanya haid. Tetapi jika keluar darah selain dari waktu kebiasaan haid, maka ia tidak dianggap sebagai darah haid. Dari Ummu Athiyah ra berkata :

“Kami tidak menganggap warna kuning atau warna keruh itu sebagai darah haid setelah bersuci.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Bukhari)


Kes 2

Seorang wanita tidak didatangi haid dalam tempoh setahun atau dua tahun bahkan ada yang beberapa tahun. Dari Ummu Salamah ra berkata :

“Dia meminta fatwa kepada Rasulullah SAW mengenai seorang perempuan yang selalu mengeluarkan darah. 


Nabi SAW bersabda : "Hendaklah perempuan itu mengenalpasti terlebih dahulu bilangan malam dan siang selama haid serta kadar hari-harinya pada setiap bulan. Setelah mengetahui waktu haid dan kadarnya itu, maka hendaklah dia menghentikan solat pada waktu-waktu tersebut. sesydah waktu haid itu berakhir, dia dikehendaki menampal kemaluannya dengan sehelai kain, lalu kerjakanlah solat.” 
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Namun jika wanita tersebut tidak mampunyai kebiasaan yang tetap, dia dikehendaki memperhatikan tanda-tanda darah yang membolehkannya mampu membezakan antara darah haid dengan darah biasa.

 
Sifat Darah Haid
Wanita yang didatangi haid kadang kalanya ia berasa agak panas atau hangat. Adakalanya juga darah yang keluar itu tidak disedari oleh wanita. Contohnya seperti orang sakit buasir sewaktu mengeluarkan air kencing tanpa disedari olehnya.

Bau Darah Haid
Darah yang keluar dari faraj wanita kadangkalanya ia berbau agak busuk, ada darah haid yang berbau seperti darah biasa dan ada juga darah haid yang tidak berbau sama sekali.

Warna Darah Haid
Darah yang keluar dari faraj wanita itu mempunyai lima jenis, di antaranya ialah darah bewarna hitam, warna merah, warna kelabu, warna kuning tua, warna coklat dan warna kuning keputihan. Peringkat keluarnya darah haid itu ialah seperti :
  1. Darah bewarna hitam keluar dari faraj wanita yang berbau busuk dan keluarnya agak panas.
  2. Darah bewarna merah yang keluar dari faraj wanita, ia berbau busuk dan keluarnya agak panas.
  3. Darah bewarna kelabu yang keluar dari faraj wanita, ia berbau dan keluarnya agak panas.
  4. Darah kuning tua atau coklat yang keluar dari faraj wanita, ia berbau dan terasa agak panas.
  5. Warna kuning cair atau kuning keputihan, darah seperti ini keluar kebiasaannya tidak begitu terasa dan tak berbau sangat. Darah ini adalah darah di penghujung haid.
Hikmah Haid
  • Melatih kaum wanita agar tahu membersihkan kotoran dan berbagai najis. Sehingga nantinya tidak merasa jijik membersih najis anak atau membersih najis suami yang uzur.
  • Sebagai tanda wanita tersebut sudah baligh. Dia perlu dibataskan pergaulannya bersama lelaki yang ajnabi dan ia juga telah diletakkan ketetapan hukum dari Allah.
  • Sebagai tanda habisnya iddah bagi wanita yang diceraikan oleh suaminya. Hal ini bertujuan untuk memastikan rahim wanita tersebut bersih dari benih bekas suaminya yang terdahulu.
  • Suami dan isteri akan dapat mengekalkan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Hal ini disebabkan haram bagi suami menyetubuhi isterinya selama ia didatangi haid.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment