November 5, 2013

India Bumi Keinsafan

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Entri kali ini saya mengimbau kembali perjalanan kerjaya saya sebagai seorang jurutera minyak yang kadang kala perlu bekerja dan merantau ke luar negara. Pada tahun 2010, saya terlibat dalam satu projek pembinaan pelantar minyak untuk syarikat ONGC – Oil and Gas Corporation yang bertapak di Maharashta atau lebih dikenali dengan nama Mumbai, India.


Pada Nov 2011, projek kami berada dalam keadaan kritikal dan ONGC mula mengarahkan agar satu perjumpaan diadakan di antara ONGC, SDE dan konsultan kami yang berada di Holland, supaya segala masalah projek dapat diselesaikan segera di ibu pejabat di Mumbai. Pada waktu inilah saya dan 12 rakan-rakan saya bersiap sedia untuk ke India. Segala dokumen-dokumen penting telah dihantar ke India terlebih dahulu. Duit juga sudah siap sedia saya tukar, pada waktu ini tukaran mata wang adalah RM0.60 bersamaan IND10.00.  Selebihnya menunggu ketibaan kami ke bumi terbesar jajahan British suatu masa dahulu ini.


Bersiap sedia untuk ke India dan keadaan cuaca agak buruk waktu ini.
Dengar sahaja nama Mumbai pasti kita terbayang Amitabh Bachchan, Shah Rukh Khan, Rani Mukerjee,  Kareena Kapoor dan aktor-aktor yang bertaraf dunia. Saya terbayang alangkah seronoknya jika dapat berselisih dengan mana-mana artis ini di tengah-tengah kota metropolitan ini.  Dalam kepala, saya dah mula berangan dan merancang apa yang ingin dilihat dan dibuat  di bumi India nanti.  Perjalanan kami dengan menggunakan pengangkutan udara MAS mengambil masa lebih kurang 5 jam dari Malaysia ke India.  Rata-rata dalam pesawat hanya kami sahaja warga Melayu Islam, yang selebihnya adalah warga India. Keadaan cuaca yang buruk dan hujan lebat pada waktu ini menyebabkan kapal terbang agak terumbang ambing. Tak lena tidur saya dibuatnya, tak henti-henti saya berdoa semoga Allah selamatkan perjalanan kami ini. Saya ini penakut sikit, mungkin dah terlalu banyak menonton filem tragedi kapal terbang terhempas.

Apabila kapal terbang kami hampir tiba pada tengah malam waktu India, dari atas terbentang luas landasan ketibaan kami. Panorama lampu rumah setinggan di sekeliling lapangan Chhatrapati Shivaji amat cantik dan menakjubkan. Rasa teruja dan tak sabar untuk menjejakkan tapak kaki saya di negara asing ini. Setelah selesai urusan imigresen dan sebagainya, kami di bawa ke hotel Sai Palace, pada waktu ini kebanyakan hotel penuh kerana akhir tahun merupakan musim jualan murah di India sama seperti  Malaysia. Ramai pelancong mengambil kesempatan ini untuk melancong sambil berbelanja kerana India terkenal dengan dunia fabriknya yang murah.


Sampai di hotel, setiap seorang diberikan satu bilik. Mulanya saya tak nak, kalau boleh nak sebilik dengan kawan saya tapi, peliknya di sini kami tidak dibenarkan berkongsi bilik walhal bilik yang ditempah mempunyai 2 katil bujang. Bila saya bertegas ingin berkongsi bilik, permintaan saya tidak dilayan. Mungkin ini polisi hotel di sini. Maka saya berkeseorangan dalam bilik dan dalam keadaan ‘jet lag’ saya masih tidak dapat melelapkan mata. 

Setiap jam saya terbangun dan akhirnya pukul 6 pagi saya bangun dalam keadaan pening lalat. Waktu ini saya meninjau pemandangan luar tingkap sebab semalam kami tiba pada waktu malam. Pemandangan yang agak menyedihkan kerana hotel kami bersetentang dengan rumah setinggan. Kelihatan warga Mumbai sudah memulakan hari kerja mereka dengan berpusu-pusu ke pejabat. Jalan raya penuh dengan pejalan kaki, ada yang menghantar anak ke sekolah dan ada yang mencari tempat sarapan. Satu gaya yang saya perhatikan mereka semua kemas berpakaian seolah-olah ingin ke pejabat padahal ada antara mereka yang hanya bekerja di tepi jalan.

Pemandangan setinggan yang berhadapan dengan Hotel Sai Palace


Kami turun untuk bersarapan dan di sini kami disajikan dengan makanan yang amat menyelerakan. India sememangnya mempunyai bahan makanan semulajadi dan berlainan rasa. Sebagai contoh, sayur dan buah-buahan India amat manis dimakan mentah tidak seperti di Malaysia yang perlu dimasak atau ditambah perisa. Berulang-ulang kami tambah dan makan kerana memang lain dari yang lain.=)


Jemput sarap kata orang Johor

Setelah selesai, kami menuju ke pejabat ONGC dengan menaiki kereta yang di sewa syarikat. Pemandu kami Muslim rupanya maka agak senang untuk berborak. Perjalanan satu jam agak lama kerana kesesakan lalu lintas yang luar biasa berbanding trafik di Malaysia. Cara pemanduan di India memang haru biru, kecutkan perut saya, hampir-hampir saya terkena sakit jantung bila bas dan lori meluru ke arah kenderaan kami yang sedang melintas. Lampu trafik tidak banyak dan memerlukan daya kreativiti pemandu untuk memandu di Mumbai ini. Kalau sayalah yang memandu rasanya tidak bergerak ke mana, mungkin akan menangis dan mengenang nasib tanpa bergerak seinci pun.


Beginilah pemandangan di tengah bandar Mumbai. Penuh dikelilingi rumah yang agak daif

Sepanjang perjalanan, Mumbai dihiasi bangunan yang muram dan agak usang, rumah setinggan berlambakan di tengah-tengah bandar. Terlalu banyak pembinaan jalan dan bangunan yang terbengkalai dan himpunan manusia di tepi dan tengah jalan. Berbeza dengan apa yang saya lihat di kaca TV. Apabila kereta kami berhenti di lampu trafik, tingkap kenderaan kami diketuk dan diserbu pengemis-pengemis jalanan. Kami dinasihatkana agar tidak membuka tingkap dan memberi duit kerana dikhuatiri lebih ramai yang akan datang dan menyukarkan kereta kami untuk bergerak. Bila saya lihat mereka satu persatu saya berasa amat kasihan. Tidak seorang pun dari mereka yang sempurna, pasti ada sahaja kecacatan tangan, mata atau badan. Inilah lumrah masyarakat di Mumbai, apabila populasi melebihi hadnya dan kepincangan hidup di sini.



Kawasan ibu pejabat ONGC Mumbai

Sampai sahaja di pejabat ONGC saya agak tergamam, pejabat ini betul-betul terletak berhadapan dengan rumah setinggan. Pagar pejabat itu bagaikan pemisah antara kawasan setinggan dan ONGC bagaikan kawasan istana yang tersergam indah. Kanak-kanak perumanahan setinggan dengan senang hati bermain kriket di tangah jalan, tanpa menghiraukan kenderaan yang lalu lalang. Kebanyakan dari mereka tidak bersekolah. Dan kanak-kanak ini tanpa ada rasa malu dan segan silu membuang air kecil dan besar betul-betul di hadapan pagar ONGC . Dan kami perlu berhati-hati ketika berjalan kerana takut terpijak najis. Bila saya melihat kurangnya akhlak, adab sopan dan tanpa segan silu masyarakat di sini, saya betul-betul simpati dengan nasib generasi muda di negara ini. Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan ketamadunan yang betul. Hidup mereka hanya berlandaskan dunia semata-mata.



Kami di hadapan ONGC sambil menunggu kereta sewa. Masa untuk bersuka ria

Sebelum masuk ke ONGC, kami diperiksa dengan teliti. Setiap dari kami perlu melalui palang pengimbas yang dijaga oleh tentera atau polis. Waktu pejabat di sini bermula pada pukul 10 pagi hingga 6 petang. Seharian kami mengadap kerenah dan budaya India dan juga Holland. Masing-masing agak tegas dalam projek ini dan saya bagaikan tersepit di tengah-tengah. Tapi kerja hanyalah kerja, saya sudahkan dengan sebaik mungkin.


Bangunan bersebelahan ONGC dan tempat letak kereta di mana kanak-kanak bermain







Waktu petang hanya beberapa orang dari kami yang selesai, yang lain terpaksa meneruskan kerja hingga ke malam di ONGC. Saya dan 2 rakan lagi iaitu Sarah dan Paie (Nor Faizah) merancang untuk berjalan-jalan. Dari ONGC kami ke R City, salah satu kompleks membeli belah yang memakan masa perjalanan hampir 1 jam. Di sini kami sekali lagi diperiksa oleh polis sebelum memasuki gedung membeli belah yang agak besar ini. 2 jam kami di sini, harga baju yang murah dan cantik disulam tangan, kain sari yang penuh warna warni memenuhi ruang kompleks ini. Sehelai baju kurti berharga RM22-26 berbanding dengan Malaysia yang  3-4 kali ganda mahalnya. Saya dan Paie sampai terduduk menunggu rakan saya Sarah yang tidak habis memilih baju lagi. Memang berbaloi berbelanja di sini. Makan malam kami singgah di Subway kerana yang lain-lain kami tak pasti halal ke tidak.


The Times India. Pakej melawat Malaysia 2011
Hari kedua saya membaca surat khabar The Times India. Rupa-rupanya tengah musim pilihanraya di sini. Pelbagai simbol yang menarik bagi setiap parti yang bertanding. Ada bentuk kuali, kasut, sayur dan lain-lain serta beberapa manifesto yang menarik yang membuatkan saya tertanya-tanya. Antaranya adalah menyediakan air bersih di kawasan setinggan dan menyediakan tempat meletak anjing-anjing di luar bangunan. Dua perkara yang agak pelik bagi saya kerana di kawasan Bandar Mumbai boleh dikatakan 70% adalah setinggan dan ini bermakna bandar besar di India ini masih lagi menghadapi masalah kekurangan air bersih. Suami saya pernah berpesan kalau boleh jangan sesekali minum air paip di sini kerana berkemungkinan akan keracunan, jadi saya terpaksa beli air botol untuk dibuat minum dan berkumuh ketika gosok gigi.

Sebelah petang pula setelah habis kerja, setelah selesai di ONGC kami bercadang untuk membeli sari yang dikirim kawan-kawan di Malaysia. Kali ini kami bergerak dalam kumpulan. Busana sari di sini memang amat murah dan cantik. Banyak juga yang saya borong. Sari ini amat sesuai dibuat baju kurung moden atau Pahang, dan kainnya amat selesa dipakai. Sebela malamnya,kami ke Restoran Safron Spice yang berhampiran hotel kami. Makanan yang saya tempah adalah Ayam Tandori dan roti pita.

Selesai membeli sari di Mumbai. Tempat yang terbaik kerana harga yang murah dan layanan mesra dari taukeh kedai.



Makan malam di Saffron Spice berdekatan dengan hotel kami. Restoran yang selesa dan menyediakan makanan dan layanan yang mesra.

Dengan kawan-kawan seangkatan

Makan malam kami yang lazat dan ringkas- Ayam tandori dan roti pita

Hari seterusnya, kami tidak mempunyai kerja di ONGC.  Saya dan Paie bercadang untuk ronda-ronda sekitar Mumbai pada waktu siang. Kami ke Kolaba Road, yang mana jalan ini bersebelahan dengan Gate of India dan penuh dengan tempat membeli belah. Pemandu kami yang baik hati sudi ikut sekali dan dialah yang tolong bawakan hasil belian kami. Di sini dari sari semurah 10 rupees, apa sahaja boleh ditawar kerana mereka amat gemar dengan pelancong dari Malaysia. Saya baru sahaja sampai para penjual sudah bising sesama mereka kerana mereka kenal kami dari mana. Dalam sibuk kami berbelanja, saya dan Paie amat berhati-hati kerana hanya kami sahaja yang bertudung dan berbeza di situ. Teringat pesanan suami saya, kawasan ini agak panas kerana pernah berlaku ancaman pengeboman oleh pengganas sebelum ini. Beberapa orang polis meninjau kawasan ini kerana terdapat ramai pengemis. Susah juga kami nak berjalan kerana adakalanya di halang oleh mereka.

Tut-tut kenderaan yang paling pantas dan paling bajet di India
Selepas itu kami bergerak ke Gate of India, jalan yang dilalui di sini agak kotor dan penuh dengan bau yang kurang menyelerakan. Saya hampir termuntah bila tak tahan menahan bau yang betul-betul meloyakan tekak. Sekali lagi kami diperiksa polis sebelum masuk. Di sini terlalu ramai jurugambar yang menawarkan servis mengambil gambar pada harga 15 Rupess. Apa yang saya perasan di sini, terlalu ramai yang kurang bernasib baik, mereka menjual apa saja yang boleh di jual dan kadang-kadang agak memaksa pembeli membeli barangan mereka. Tidak seperti Malaysia yang penuh dengan peluang pekerjaan. Tapi ada juga antara penjual di Mumbai ini yang terlalu ramah dan memang boleh bertolak ansur dengan pembeli.


Di hadapan Gate of India. Masih ingat dengan cerita Mann, di sinilah Amir khan dan Manisha Koirala berjanji untuk berjumpa.


Di hadapan Hotel Taj Mahal Palace di Mumbai. Di hotel inilah pernah digemparkan kes pengeboman oleh  pengganas.

Seterusnya kami bersiar-siar sekitar pantai Chowpatty. Di sepanjang lorong pejalan kaki di pantai ini penuh bersusun gelandangan yang menumpang tidur. Pada mulanya kami teragak-agak untuk turun dan mengambil gambar kerana rasa pelik dan sedikit risau. Kawasan inilah yang selalu di tayang di dalam filem India. Saya tak sangka keadaannya berbeza sama sekali dengan apa yang ditayangkan di kaca televisyen. Kemudian, kami bersiar-siar pula ke stesen keretapi peninggalan kerajaan British, Victoria Terminus, Di sinilah salah satu babak filem Slumdog Millionaire diadakan. Dan untuk pengetahuan anda apa yang anda tonton dalam filem inilah senario kota Mumbai yang sebenarnya.

Di pesisir pantai Chowpatty

Bagi saya, India mempunyai terlalu ramai penduduk yang kurang bernasib baik dan kebanyakan dari mereka tidak mempunyai pekerjaan dan hanya mampu berpeleseran di tepi jalan. Itu belum lagi ditambah dengan mereka yang tidur di bawah jambatan, tepi jalan dan sebagainya.  Jika ditenung dan diamati, wajah mereka bagaikan kosong dan tiada tujuan, mungkin kerana terlalu tertekan dengan kepayahan hidup. Saya pernah singgah di stesen minyak di Mumbai, setiap pam minyak mempunyai 4 orang pekerja. Berbeza dengan Malaysia yang hanya perlukan seorang pekerja untuk 2-3 pam minyak. Mereka terlalu kekurangan pekerjaan dan apa-apa yang mendatangkan duit itulah kerja bagi mereka. Sekali lagi saya agak sedih melihat harga bagi seliter minyak adalah RM8. Bagaimana mereka hidup dengan kos yang amat tinggi?

Nasi Briyani Hyderabad termasuk minuman, dengan harga RM20 dan untuk hidangan 3 orang

Ada seorang kawan saya yang agak lama tinggal di India, dia pernah bercerita bila tibanya musim hujan, ramai gelandangan akan mati kesejukan atau lemas. Setelah banjir surut, mayat-mayat akan dikumpul oleh pihak berkuasa dan mana-mana mayat yang tidak dituntut akan dijual untuk tujuan penyelidikan perubatan atau organ-organ badan mereka dijual kepada yang memerlukan. 

Setiap keperitan dan dan kekurangan yang saya lihat di negara orang ini membuatkan saya rasa amat bersyukur dilahirkan di Malaysia, paling bersyukur dan bertuah saya rasa kerana saya dilahirkan dalam Islam, yang mana agama kita mengajar tujuan hidup tanpa putus asa dan berusaha atas doa dan tawakal kepada Allah s.w.t. Alhamdulillah, ramai antara kita yang masih lagi bertuah dari penduduk India. Ramai antara mereka tiada rumah, tiada kerja, tiada keluarga, tiada tujuan hidup dan tiada siapa yang membela dan mencari keadilan untuk mereka. Saya terlalu insaf melihat kesempitan hidup mereka. 

Hari terakhir saya tinggalkan India dengan gambaran penuh simpati dan masih terbayang-bayang realiti kehidupan warga Mumbai yang telah disajikan di depan mata saya selama 5 hari saya di sini. Apa yang pasti, filem Slumdog Millionaire sememangnya memaparkan kisah sebenar Mumbai, kisah sebenar masyarakat India yang wajar menjadi pengajaran pada kita.

Setibanya di Malaysia, lain pula kisah yang menyusul kami. Ramai antara kami yang terkena cirit birit dan muntah-muntah selama beberapa hari, sehingga ada yang dimasukkan ke hospital seminggu dua. Inilah akibatnya bila kami kurang berhati-hati dalam memilih makanan. Sebagai persediaan sebenarnya kami perlu mengambil suntikan imunisasi sebelum ke sana, tapi apakan daya, persiapan kami agak tergesa-gesa pada awalnya.

Semoga pengalaman saya ini sedikit sebanyak dapat menjadi rujukan bagi kawan-kawan yang ingin ke sana. Persiapkan diri dengan segala kelengkapan, jika inginkan nasihat atau rujukan tentang Mumbai ini bolehlah tinggalkan jejak di blog saya ini.

No comments:

Post a Comment