February 15, 2014

Makanan Sunnah - Apa Ada Dalam Minyak Zaitun

Teks: Kizeewatty Zainal
 
Assalamualaikum w.b.t

Pertama kali saya menggunakan minyak zaitun ketika saya kecil lagi, bila balik ke rumah nenek di Ayer Baloi Pontian, pagi-pagi sesudah mandi saya disiapkan oleh nenek. Dia akan menyiapkan saya dan menyikat rambut saya dengan menggunakan minyak rambut. Baunya bagi saya kurang enak tapi kata nenek minyak zaitun amat bagus untuk kulit kepala dan rambut. Oleh kerana dah terbiasa memakai minyak zaitun sebagai minyak rambut, hasilnya hari ini saya mempunyai rambut yang lebat.

 
Minyak Zaitun yang saya gunakan pada zaman kanak-kanak
Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan dalam Sunan-nya nahawa Abu hurairah r.a meriwayatkan bahawa nabi Muhammad s.a.w bersabda,

“Makanlah minyak zaitun dan gunakan sebagai minyak rambut kerana ia berasal dari pohon yang diberkati.”

Minyak zaitun juga amat popular digunakan dalam produk kecantikan. Ia boleh menguatkan akar dan melembutkan kulit. Minyak zaitun yang jernih dan berkilau, lagi mahal harganya. Minyak zaitun baik untuk kesihatan luaran dan dalaman manusia.

Minyak zaitun jernih dan berkilau seperti cahaya. Ini disebut di dalam al-Quran surah An-Nur:35:

"Yang dinyalakan dengan minyak yang banyak faedahnya (iaitu) zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api."

Zaitun bersifat lembap dan minyak zaitun terbaik adalah yang diperah dari zaitun masak, manakala minyak zaitun yang tidak masak adalah dingin dan kering. Minyak zaitun hitam bersifat panas dan basah, menyembuhkan keracunan, berfungsi sebagai julap dan membebaskan tubuh dari penyakit cacing.

Paras asidnya yang rendah memudahkan penghadaman kita. Vitamin E yang terkandung di dalam minyak zaitun didapati boleh merendahkan kolestrol LDL (kolestrol jahat), tekanan darah, mengurangkan risiko barah payudara dan risiko koronori jantung. Ibnu Qayyim meriwayatkan bahawa minyak zaitun yang dibancuh dengan sedikit garam boleh meredakan radang gusi dan gigi. Menurutnya lagi minyak zaitun dapat menawarkan racun dan mengeluarkan cacing.




Khasiat Minyak Zaitun

Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi
Pengambilan minyak zaitun menambahkan bilangan kolesterol baik untuk badan di mana ia menghalang penghasilan plak pada dinding arteri dan kehadiran antiaksida dalam minyak zaitun juga mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.

Anti Kanser
Kajian The Journal of the National Cancer Institute menunjukkan diet minyak zaitun bersama buah-buahan dan sayuran merendahkan risiko kanser payu dara, kanser kolon dan kanser prostat.

 Memudahkan Penghadaman

Selain itu, minyak zaitun juga meningkatkan penghadaman dan penyerapan nutrien di mana ia melepaskan asid gastrik perlahan-lahan selain membantu pengeluaran hempedu yang optimum.

 Nutrisi Ibu Hamil

Ibu-ibu mengandung juga digalakkan untuk menambahkan minyak zaitun dalam diet mereka bagi membantu penyerapan vitamin, mineral dan nutrien yang penting untuk fetus selain mengatasi masalah sembelit yang biasanya dialami ibu mengandung.

Melegakan Sendi

Masalah arthritis di kalangan warga emas juga dapat dikurangkan dengan penggunaan minyak zaitun di mana kandungan semula jadinya iaitu oleocanthal, adalah salah satu agen antiradang bukan steroid yang menghalang aktiviti siklooksigenas penyebab radang.

Menguatkan Tulang
Penyakit osteoporosis juga dapat dihalang dengan pengambilan rutin minyak zaitun dalam diet seharian di mana mineral dan kalsium dapat diserap dengan lebih baik untuk keperluan tulang.
 

Kecantikan Kulit
Kandungan vitamin dan flavonoid di dalam minyak zaitun berfungsi mencantikkan kulit dengan meneutralkan radikal bebas yang merosakkan kulit.

Mengurangkan Rambut Gugur 

Sapuan kepada rambut dan kulit kepala menjadikan rambut sihat bersinar, juga mengurangkan masalah rambut gugur.


No comments:

Post a Comment