September 18, 2013

Sunnah Nabi Muhammad s.a.w - Cara Makan yang Terbaik

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Kali ini saya ingin kongsikan lagi adab-adab mulia Rasulullah s.a.w ketika makan. Umar bin Abu Salamah meriwayatkan,

"Semasa saya kecil dan di bawah asuhan Nabi Muhammad, apabila saya makan, saya selalu memusing-musingkan tangan jari-jari saya di atas pinggan. Lalu Nabi Muhammad berkata kepada saya ' Wahai Anak, baca Bismillah, dan makan dengan tangan kananmu. Mulai dengan memakan makanan yang paling dekat denganmu."- direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Kita juga digalakkan makan beramai-ramai supaya mendapat keberkatan sekaligus dapat merapatkan ukhuwah antara satu sama lain ketika berkongsi makanan. Wahsyi bin Harb meriwayatkan,

"Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad mengadu kepada baginda. Kata mereka 'Wahai Rasulullah, kami makan tetapi tidak kenyang.'

Dijawab oleh Nabi Muhammad,

'Barangkali saudara-saudara makan sendirian.'

Jawab mereka ,

'Benar.'

Lalu Nabi Muhammad berkata,

'Makanlah beramai-ramai, dan bacalah Bismillah, nescaya makanan itu menjadi berkat.'- direkodkan oleh Abu Daud 

Abu Nu'aim manyatakan bahawa rasulullah s.a.w melarang terus tidur setelah makan kerana boleh mengeraskan hati. Para doktor Muslim menyarankan agar berjalan-jalan setelah makan malam meskipun hanya beberapa langkah. kerana terus tidur setelah makan malam amat membahayakan. Orang yang menunaikan solat setelah makan malam dapat mengekalkan makanan dalam perut sehingga boleh dicerna dengan mudah. Di sinilah terletaknya hikmah bagi mereka yang selalu menunaikan solat malam di samping dapat menjamin kesihatan dan mendapat keredhaan Allah s.w.t

Bagi mereka yang ingin menjaga badan dan berdiet selalu mengabaikan pengambilan makanan pada waktu malam. Rasulullah s.a.w sentiasa makan malam meskipun hanya dengan beberapa biji kurma. Baginda bersabda,

" Meninggalkan makan malam boleh menyegerakan penuaan." Tirmizi dalam Jami'nya dan Ibnu Majah dalam Sunan-nya menyatakan perkara ini.

Makan malam di sini bukanlah makan pada lewat malam. Kita disarankan makan sebelum maghrib atau selewat-lewatnya pukul 9 malam dan tidak terus tidur. Ambil masa 2 hingga 3 jam selepas makan untuk proses penghadaman yang baik dan lancar.

Sekian perkongsian saya pada kali ini. Insya Allah akan saya sambung pada waktu kelapangan. Selamat Malam.



Wallahu a'lam.




No comments:

Post a Comment