September 23, 2013

Sunnah Nabi Muhammad s.a.w: Panduan dan Etika Semasa Minum

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Kali ini saya ingin kongsikan panduan Nabi Muhammad s.a.w ketika minum. Terlalu banyak tip dalam memelihara kesihatan dengan hanya mengamalkan cara minum yang betul. Cara minum Rasulullah s.a.w memberikan hasil yang lebih baik daripada minum air dalam satu nafas (tegukan) sahaja.

Jika seseorang itu minum dalam satu tegukan , dia boleh tersedak kerana banyaknya jumlah cecair yang masuk ke dalam badan sekaligus. Namun, tidak ada risiko tersedak sekiranya jika mengambil nafas ketika minum. Ketika seseorang itu minum, , pengumpulan gas panas dalam badan akan naik dari sekitar hati kerana air sejuk atau cecair yang turun ke perut. Air akan datang menyerbu semasa gas sedang naik, menyebabkan gas dalam perut dan kadangkala menjadikan kita tersedak.




Abdullah bin Mubarak al-Baihaqi dan ulama lain meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

"Jika salah seorang dari kamu semua minum, hendaklah dia meneguknya seperti orang menghisap, bukan seperti orang menuang air. Penyakit hati antara lain disebabkan kerana cara minum seperti itu."

Jika air sejuk turun ke hati secara tiba-tiba , ia akan melemahkan dan menyebabkan suhu hati turun. Namun air yang masuk dalam tegukan terpisah tidak akan membuang panas hati dan tidak akan melemahkannya. Ibaratnya, jika kita menuangkan air pada cerek panas, suhu cerek tidak akan berkurang secara drastik.

Diriwayatkan oleh Tirmizi dalam Jami'-nya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

"Janganlah minum dalam satu tegukan seperti minumnya unta. Tetapi, minumlah dengan dua atau tiga kali tegukan dan membaca Bismillah sebelum minum serta Alhamdulillah setelah minum."

Membaca Bismillah dan Alhamdulillah, mempunyai pengaruh besar untuk mendapat manfaat dari minuman, menambah nikmat minum dan menolak segala bahayanya.

Cara Rasulullah s.a.w dalam etika dan cara minum air yang terbaik adalah dengan bernafas jauh dari tempat minum iaitu tempat minum dijauhkan dari mulut semasa bernafas. Bernafas dalam gelas boleh meniup bau busuk mulut ke dalam minuman. 

Inilah sebabnya Rasulullah s.a.w melarang bernafas atau meniup ke dalam air seperti yang dilakukan kebanyakan kita ketika minum minuman yang panas. Kita selalu meniup air panas kerana ingin untuk menyejukkan air terlebih dahulu sebelum minum. Ternyata perbuatan ini banyak memudaratkan kesihatan kita tanpa disedari.

Imam Muslim dalam Sahih-nya meriwayatkan bahawa Anas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w biasa minum air dalam tiga tegukan terpisah dan bersabda:

"Cara ini memuaskan, lebih lazat dan lebih menyihatkan." 

 Hadis ini menunjukkan bahawa baginda biasa minum lalu berhenti sejenak untuk mengambil nafas, kemudian minum lagi. Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w melarang orang bernafas dalam gelas, iaitu perlu menjauhkan gelas dari mulutnya dan bernafas jauh dari gelas. 

Jika air memasuki perut yang amat haus secara berselang, makan tegukan air kedua akan menghilangkan sisa dahaga setelah tegukan pertama, dan tegukan ketiga akan membuang sisa dahaga dari tegukan kedua. Cara ini lebih sesuai bagi suhu perut kerana tidak diserbu unsur angin secara tiba-tiba. Cara inilah yang dikatakan lebih memuaskan dan lebih menyihatkan.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment