October 22, 2013

Cara Rasulullah s.a.w Berpakaian

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Dalam hidup bermasyarakat, cara pemakaian harian kita amat dititik beratkan oleh setiap individu. Bagi mereka yang berada, ribuan wang ringgit dikeluarkan untuk fesyen dalam menjaga status dan keterampilan diri. Bagi golongan sederhana dan kurang bernasib baik, pemakaian sederhana sajalah yang mampu buat mereka, yang penting mereka kelihatan kemas ketika bergaul dalam komuniti sekeliling.

Panduan Rasulullah mengenai pakaian merupakan panduan terbaik, amat bermanfaat untuk tubuh, paling mudah dipakai, ditanggalkan serta tidak membazir dari segi wang ringgit. Baginda biasa memakai kain sarung dan serban kerana jenis pakaian ini paling lembut pada tubuh manusia. 

Ummu Salamah berkata, "Pakaian yang paling disukai oleh Nabi Muhammad adalah baju jubah."-diriwayatkan oleh Abu  Daud dan Tirmizi.


Contoh Gamis cara pemakaian Rasulullah s.a.w

Nabi Muhammad s.a.w gemar memakai gamis yang lengan bajunya tidak terlalu panjang atau lebar dan hanya mencapai pergelangan tangan. Jika terlalu panjang, pakaian menjadi sukar dikenakan dan sukar bergerak. Jika terlalu pendek dari pergelangan tangan maka pakaian ini tidak melindungi tangan dari hawa panas dan sejuk. 

Muaz bin Anas berkata, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, " Orang yang tidak memakai pakaian yang mewah dan bergaya kerana merendahkan diri, sedangkan beliau mampu melakukannya, Allah memanggilnya pada hari kiamat kelak di hadapan semua makhluk Allah. Allah memberikannya peluang untuk mereka apa sahaja pakaian yang hendak dipakainya daripada pakaian keimanan". -dirawayatkan oleh Tirmizi

Hujung gamis dan kain baginda hanya sehingga pertengahan betis, tidak melepasi pergelangan kaki. Jika terlalu panjang, pergerakan akan terbatas dan menjadikan pergerakan rasa dikekang.Pakaian baginda biasanya berwarna putih dan bergaris-garis dan baginda tidak memakai pakaian berwarna merah, hitam atau dicelup bahan pewarna.

Serban yang dikenakan Rasulullah tidak terlalu besar sehingga membahayakan kepala, juga tidak terlalu kecil sehingga cukup melindungi kepala dari panas dan sejuk. Serban baginda yang sederhana dengan hujung serban menjulur di bawah dagu untuk melindungi  leher dari cuaca. Menjulurnya hujung serban ini boleh mengukuhkan serban di atas kepala semasa menunggang kuda atau unta semasa perang.



Sebahagian orang menggunakannya untuk menyelit sebagai ganti menjulurkan hujung serban di bawah dagu.

Rasulullah juga sering memakai stokin semasa melakukan perjalanan kerana kaki memerlukan penutup untuk mengelakkan dari cuaca panas dan sejuk. 

Sesungguhnya betapa ringkas cara pemakaian Rasulullah, tidak menunjuk-nunjuk dan mencerminkan keperibadian baginda yang rendah diri. Baginda bukan mencari pujian dari manusia melalui pemakaiannya akan tetapi mencari keredhaan Allah dalam kesederhanaannya dalam apa jua cara.

Waalahu a'lam.


1 comment:

  1. Sangat setuju dengan tulisannya.
    Semoga Allaah selalu merahmati kita semua, memberi Petunjuk kepada jalan kebenaran, dan menjaga kuia dari azab kubur dan siksa api neraka.
    Aamiin

    ReplyDelete