Teks: Kizeewatty Zainal
Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin. Hari
Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh
Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
1. Hari Paling Mulia
Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala
hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini.
Abu Hurairah Radhiyalahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Sebaik-baik
hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah
Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam as)
dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda
dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada
hari ini.” (HR Muslim)
2. Hari Bagi Kaum Muslimin
Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya Umat Muhammad SAW
dalam masjid-masjid mereka yang besar untuk mengikuti solat dan
sebelumnya mendengarkan dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat
bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.
Allah SWT berfirman:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada
hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan
tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)
3. Penghulu Segala Hari
Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan
Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding hari-hari yang
lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’
iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”
.
Dari Abu
Lubabah bin Ibnu Mundzir Radhiyallahu Anhu berkata, Rasululullah SAW berkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang
paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima
peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari
Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika
seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak
memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat.
Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di
langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)
4. Hari Kebesaran Mingguan
Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah saw bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat
Islam, maka siapa yang hendak menghadiri soalat Jumaat hendaklah mandi
terlebih dahulu.” (HR. Ibnu Majah)
5. Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan
hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan
ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada
saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat
Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang
menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban
seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti
memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat
kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
6. Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi
Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka
bumi. Di tangan terdapat mereka tinta kalam emas dan kertas-kertas
daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid
bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid dan mendirikan Solat
Jumaat.
Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka
kembali ke araysh untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT
dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang
masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah SWT berfirman: “Wahai
Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah
ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
7. Hari Mustajab Berdoa
Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu
masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah
SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia
meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan
Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a. Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b. Pada akhir waktu Asar.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada
dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang
sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua,
sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat
tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).
8. Hari Dihapuskan Dosa
Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya.
Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam)
dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu)
selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)
Salman Al Farisi berkata lagi,
Rasulullah SAWم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari
Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak
wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi
sesiapa, kemudian solat sesuai tuntunan dan diam tatkala imam
berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR.
Bukhari).
9. Hari Lebih Utama Bersedekah
Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya.
Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah
pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding
bulan-bulan lainnya.” .
10. Hari Meraih Pahala
Orang yang hadir dan menunaikan kewajibannya untuk solat Jumaat akan
mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke Masjid, setara dengan pahala
ibadah satu tahun solat dan puasa.
Aus bin Aus berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat,
kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan menempati shaf hadapan
kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan mendapat
pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah
bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu
Huzaimah).
11. Hari Hidayah Daripada Allah SWT
Hari Jumaat merupakan keistimewaan dan hidayah yang Allah SWT berikan
kepada umat Islam yang tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumnya.
Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda;
“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling
awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga,
cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab
setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita
hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka
perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita
(Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini
untuk kita (umat Islam), besok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad)
untuk umat Nasrani.” (HR Muslim r.a.).
12. Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’
Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda
‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.
Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah saw
bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya,
nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan
Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).
13. Hari Terselamat Dari Seksa Kubur
Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak
seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat,
melainkan diselamatkan Allah SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat
Tarmizi)
14. Hari Berlakunya Qiamat
Jumaat
merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari
pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada
menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari
itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah
melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda : “Hari Yang
Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah,
dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan
tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada
hari Jumaat.”
Sabda Rasulullah SAW.: “Pada
hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat
muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari
Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih
pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
15. Hari Dapat Melihat Allah SWT Di Syurga
Hari tatkala Allah SWT menampakkan diri kepada hamba-Nya yang beriman di syurga.
Firman Allah SWT;
“Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).” (Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)
Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas : “‘Dan
Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; “Allah SWT menampakkan
diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”
Waalahu a'lam.
No comments:
Post a Comment