December 15, 2013

Kepentingan Bersuci dalam Masyarakat Islam

Teks: Kizeewatty Zainal

Assalamualaikum w.b.t

Dalam rutin kita seharian, kita pasti banyak menggunakan air, untuk mandi, memasak, membasuh makanan dan pakaian. Malah sebenarnya terlalu banyak lagi pekerjaan yang kita lakukan yang amat memerlukan penggunaan air ini.

Bersuci dalam bahasa Arabnya Taharah, bermaksud bersih dan suci dari pelbagai jenis kotoran. Maksud yang lebih terperinci adalah mengangkat hadas kecil atau besar, melenyapkan sifat kotoran yang melekat di badan yang menghalang kita dari menunaikan solat yang sah dan sebagainya, serta menghilangkan najis daripada badan, pakaian dan tempat.

Entri kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit ilmu berkenaan bersuci, apa yang boleh digunakan untuk bersuci, tujuan bersuci dan apa yang perlu disucikan.Untuk bersuci, air merupakan elemen penting untuk membersihkan unsur kotoran yang ada pada diri kita atau sekeliling kita. Selepas seharian bekerja pasti badan akan lebih segar setelah mandi dan dapat membersihkan badan. Begitu juga ketika memasak, bahan-bahan masakan perlu dibasuh dan dimasak menggunakan air.
Solat dikira tidak sah jika terdapat hadas besar mahupun kecil dan najis di badan. 

Dalam Hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda, " Tidak diterima solat tanpa bersuci" riwayat Tirmizi, Nasa'i, Abu Daud dan Ibnu Majah.

Bersuci yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah membersihkan diri dan berwuduk sebelum solat. Benda yang boleh menyucikan adalah medium seperti air dan tanah (pengganti jika pada waktu tertentu atau darurat). Air suci adalah air  yang tetap pada keadaan asalnya dan tidah berubah, yang datang dari sumber bumi dan langit. Maha suci Allah yang telah menciptakan kurniaan yang paling hebat dan bermanfaat untuk kegunaan makhluk-Nya.

Air yang termasuk dalam kategori ini adalah air embun, air mata air, ais, sungai, perigi dan lain-lain.  Walaupun sesetengah jenis air itu telah mengalami perubahan seperti endapan atau bercampur dengan air suci yang lain, ia masih boleh digunakan untuk bersuci dan berwuduk. Perihal air ini pernah saya kupas dalam perbezaan air.

Jika air yang suci bercampur dengan air suci maka hukumnya tetap suci selagi masih berbentuk air, tidak mengubah bau, rasa dan warna. Jika diperhatikan, berbeza pula jika air yang suci bercampur dengan najis yang mampu mengubah sifat dan zat air tersebut, maka tidaklah kita boleh bersuci menggunakan air yang bercampur najis itu tadi. Air yang menitis dari anggota tubuh yang terkena air wuduk dan sebagainya hukumnya tetap suci dan menyucikan selagi bau, warna dan rasanya masih tidak berubah.

Di dalam hadis Ummu Hani' r.a, "Rasululllah s.a.w pernah mandi bersama Maimunah r.a dari satu benjana, yang masih terdapat bekas adunan tepung." diriwayatkan oleh Nasa'i dan Ibnu Majah.

Di zaman moden ini, air yang telah digunakan oleh manusia dikitar, dirawat dan disuling semula yang secara saintifiknya; dibersihkan hingga hilang bau, rasa dan warna daripada bahan-bahan yang telah bercampur pada asalnya. Ini kerana air sungai, laut dan lain-lain sudah terlalu kotor untuk digunakan. 

Sumber air hari ini tidak seperti zaman kanak-kanak saya di mana air sungai boleh digunakan sebagai air mandian dan memasak. Malangnya manusia zaman sekarang terlalu banyak mendatangkan kerosakan kepada ciptaan semulajadi Allah ini. Suatu hari nanti pasti kita akan menyesal bilamana kita sudah kekurangan air bersih untuk digunakan.

Waalhu a'lam.
 

No comments:

Post a Comment